Prolog Perang Salib Kesembilan

Selepas kejayaan Mamluk ke atas tentera Mongol pada tahun 1260 dalam Pertempuran Ain Jalut oleh Qutuz dan panglimanya Baibars, Qutuz telah dibunuh, lalu meninggalkan Baibars untuk menuntut kesultanan bagi dirinya sendiri. Sebagai sultan, Baibars meneruskan serangan ke atas tentera salib di Arsuf, Athlith, Haifa, Safad, Jaffa, Ascalon, dan Caesarea. Ketika kota-kota pertahanan tentera salib jatuh satu demi satu, orang Kristian meminta bantuan daripada Eropah, tetapi bantuan datang lambat.

Pada tahun 1268, Baibars menawan Antioch, dan dengan itu memusnahkan saki-baki terakhir Kerajaan Antioch, lalu menjamin perbatasan utara Mamluk dan mengancam wilayah kecil tentera Salib, Kerajaan Tripoli.

Louis IX dari Perancis yang sudah pun menyusun satu ketumbukan tentera salib yang besar dengan niat menyerang Mesir, sebaliknya beralih kepada Tunis, tempat Louis sendiri meninggal dunia pada tahun 1270. Putera Edward dari England tiba di Tunis agak lewat untuk membantu saki-baki tentera salib di Tunis. Sebaliknya dia meneruskan perjalanan ke Tanah Suci untuk membantu Bohemund VI, penguasa Antioch dan Tripoli menentang ancaman Mamluk terhadap Tripoli dan saki-baki Kerajaan Jerusalem.